Dosa Semalamku….
Monday, October 2nd, 2006Entah kenapa, hari ni lepas ‘beraktiviti malam’ di surau hostel tetiba buatkan aku rasa nak baca-baca testimonial dulu-dulu. Tak tahu apa yang menarik aku berbuat demikian. Belek-belek, aku perasan. Sememangnya sejarah diriku dahulu tidak kurang memualkan. Itu baru yang tertulis, yang tidak bertulis barangkali boleh mengakibatkan muntah-muntah bagai kena penyakit taun. Sememangnya aku sedar, dahulunya aku manusia keji bergelumang dengan kekotoran nafsu (sekarang? wallahua’lam). Hatta sesiapa sahaja mungkin masih tidak dapat larikan pandangan dari melihat palitan-palitan nista silam ku yang tercalar padaku. Aku sedar, sejarah adalah realiti berlalu dan realiti lalu tidak dapat diubah tidak kira semahu mana kita cuba menipu diri. Apakah tidak mungkin ada peluang kedua, ketiga, keempat buat mereka, yang dilihat hina, terkutuk, jijik kerana dosa-dosa lalu mereka untuk kembali menagih kasih Tuhannya? Mengapa hinanya mereka yang sedang melangkah kembali ke fitrah di mata insan-insan ‘muqarrabin’? Adakah cara bersyukur kerana terlepas dari palitan dosa-dosa seperti mereka yang kurang bernasib baik ini adalah dengan berburuk sangka? Apakah kalau mereka berubah maka berubahnya mereka itu adalah kemunafikan dan tiadanya butir keikhlasan?
Aku bersaksi Allah subhana wa ta’ala itu Pemurah dan Pengasihani. Dia penuh dengan kasih sayang. Dia sentiasa bersedia menerima sesiapa sahaja yang dahagakan Kasih dari Penciptanya tanpa persepsi-persepsi. Kasih-Nya begitu tulus maka Dia sudi mengampunkan sesiapa sahaja yang ikhlas. Sekalipun sekalian alam memandang manusia tersebut hina. Manusia lain boleh mencaci dengan pandangan mereka dan ragu-ragu mereka tetapi sifat ar-Rahman dan ar-RahimNya tidak. Sebak apabila terbaca firmannya yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.[az-Zumar 39:53]
Di dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman:
Aku sesuai dengan persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku selalu bersamanya ketika dia mengingat-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam dirinya, maka Aku pun akan mengingatnya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam suatu jemaah manusia, maka Aku pun akan mengingatnya dalam suatu kumpulan makhluk yang lebih baik dari mereka. Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari.
[Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim - hadis no:2675 (Bab Zikir, Doa, Tobat Dan Istigfar).]
Betapa hebat Kasih Sayang-Nya. Manusia boleh menilai kita semahu mereka. Boleh meragui kita semahu mereka. Boleh merendah-rendahkan kita dengan pandangan mereka, semahu mereka. Buat saudara-saudaraku yang dalam perantauan kembali kepada kasih Allah selepas tersesat dilibas taufan kemungkaran…janganlah putus asa kerana pandangan-pandangan serta sangkaan-sangkaan orang di sekeliling mu. Bisikkan dalam hati…
Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang agung. [at-Tauba 9:129]